Maha Suci Allah yang telah menciptakan manusia dalam keadaannya yang pelbagai bangsa dan berbeza jantina. Berbeza kabilah dan berbeza puak. Berbeza bahasa dan berbeza negara. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana terhadap segala percaturan dan penetapanNya. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan yang berfikir.
Masih dalam ruang lingkup perbincangan yang penting, iaitu hubungan antara lelaki dan wanita. Allah dengan penuh bijak menciptakan kita ada yang lelaki dan ada yang wanita. Tidak Allah ciptakan hanya lelaki di muka bumi, begitu juga tidak hanya wanita. Dan kewujudan kedua-duanya pula disertai dengan beberapa garis panduan penting, yang hanya akan dikecapi hikmahnya oleh manusia cerdik lagi suka berfikir.
LELAKI SEBAGAI LELAKI, WANITA SEBAGAI WANITA
Kedua-dua lelaki dan wanita, hidup sebagaimana yang ditetapkan ke atas mereka. Lelaki cenderung menjadi gagah lagi kuat fizikalnya, manakala wanita cenderung menjadi lembut dan tertib. Lelaki sampai kiamat tidak akan boleh mengandung apatah lagi beranak. Wanita pula pasti akan didatangi haid dan sebagainya.
Mereka, lelaki dan wanita, hidup sebagai diri mereka. Satu sama lain tidak boleh menukar keistimewaan diri masing-masing walaupun kedua-duanya mahu.
Islam, sebagai satu cara hidup yang paling sempurna dan sesuai untuk semua manusia, tidak hanya berbicara perihal solat dan zakat. Bahkan Islam juga membicarakan tentang bab mu’amalat iaitu perhubungan sesama manusia. Termasuk juga perbincangan tentang perhubungan antara lelaki dan wanita.
Apabila lelaki dan wanita hidup sebagai diri masing-masing, maka di sana ada etika tertentu yang perlu mereka patuh dan ikut jika mahu berhubung sesama mereka. Sungguh Allah itu tidak zalim dan kejam, sehingga menyekat manusia berjantina lelaki untuk hidup serta bergaul sesama lelaki sahaja manakala wanita juga hanya bergaul sesama wanita sahaja.
Salah faham seperti ini, kerapkali menjadikan wanita sebagai mangsa, sehingga pergerakan mereka terbatas dan sudut pandang mereka menjadi sempit. Hakikatnya, mangsa yang sebenar bukanlah wanita sebaliknya Islam itu sendiri ditohmah sebagai punca kepada sindrom tersebut.
PERGAULAN DAN PERSAHABATAN
Islam tidak menyekat manusia untuk maju. Bermakna, Islam juga tidak menyekat manusia bertindak atau melakukan perkara-perkara yang boleh menjadikan mereka maju. Antara cara manusia maju adalah dengan bekerja, terlibat dengan bisnes, mendekati masyarakat dan sebagainya.
Secara dasarnya, kedua-dua lelaki dan wanita tidak disekat untuk memajukan diri mereka dalam apa sahaja aspek yang mereka ceburi. Tidak ada istilah hanya lelaki boleh maju, wanita perlu duduk di rumah. Islam itu prinsipnya bukan menyekat, sebaliknya memberi saluran dan alternatif.
Apabila manusia bergerak untuk maju, mereka akan bertemu dalam lapangan-lapangan tertentu. Seumpama kehidupan di kampus, kerja di pejabat mahupun turun memberi sumbangan pada masyarakat. Manusia yang bertemu ini, bukan hanya sesama jantina sebaliknya lelaki pasti akan bertemu wanita, dan wanita pula akan bertemu lelaki.
Islam tidak menghalang perkara tersebut.
Tidak haram lelaki bertemu wanita dalam satu-satu lapangan kerja, begitu juga wanita tidak haram bertemu lelaki. Mereka boleh berhubung, bergaul dan bekerja bersama-sama.
Cuma, Islam menyalurkan manusia dengan etika yang betul. Etika inilah yang akan menjadikan pergaulan serta perhubungan tadi selamat, bukan hanya di dunia bahkan hingga ke akhirat. Antara etika yang Islam tetapkan adalah menjaga pandangan.
Dan bab menjaga pandangan ini cukup teliti dan panjang untuk diulas. Apa yang penting, tersirat satu hikmah besar di sebalik arahan Allah supaya lelaki jangan pandang wanita dan wanita jangan pandang lelaki.
Habis tu, lelaki kena jalan pandang bawah je la?
Bukan.
Menundukkan pandangan maksudnya jangan pandang tanpa ada keperluan untuk pandang. Jangan pandang dengan nafsu. Jangan pandang dengan keinginan tertentu. Jangan pandang tempat-tempat tertentu.
Jangan dan jangan ini, untuk kebaikan manusia sendiri. Apabila suka pandang, dari mata jatuhlah ke hati. Salah. Dari mata jatuhlah ke NAFSU. Timbullah keinginan-keinginan tertentu. Akhirnya bila bertemu jalan buntu, zinalah menjadi jalan keluar paling mudah.
Itu baru satu etika.
Banyak lagi etika lain yang Islam wajibkan untuk patuh dalam pergaulan lelaki dan wanita.
Antara lain :
1. Jangan berdua-duaan
2. Jangan letakkan diri dalam keadaan yang mengundang fitnah
3. Jangan bertepuk tampar, bersentuh-sentuhan, berpegangan tangan
4. Jangan bermain soal hati
5. Jangan bergaul dengan lawan jantina, seperti bergaul sesama jantina
6. Jangan terlalu rapat sehingga semua benda boleh ‘open’
7. Jangan bersubahat dalam perkara maksiat
8. Dan banyak lagi ‘jangan’ yang lain.
No comments:
Post a Comment