Sunday, 24 February 2013

Atas Nama Kawan@ Sahabat?

Mereka keluar berdua, makan-makan dan melepak atas bukit. Ambil angin katanya. Bila ditanya, mereka jawab : ” kami hanya kawan biasa. Kebetulan dia ada masalah, nak cari tempat meluah, jadi saya luangkan masa. Lagipun, kami masing-masing dah berpunya “.
Sila ambil perhatian. Bercouple itu menjadi haram bukan kerana namanya coupleatau semata kerana isu ‘aku cinta kau, kau cinta aku’. Couple menjadi haram dek kerana wujudnya gejala berdua-duaan, bercakap dari hati ke hati tanpa had batasan dan sebagainya. Jadi, jika berlaku elemen-elemen tersebut, tidak kiralah namanya ‘kawan’ , ‘sahabat’ ataupun ‘couple’ , hukumnya tetap adalah haram. Ia termasuk dalam kategori khalwat dan mukaddimah zina.
Ada lagi contoh situasi lain.
Si lelaki aktif dalam sesuatu pertubuhan. Ada kenalan ataupun sahabat wanita dalam pertubuhan yang sama. Mereka ramai, bekerja dan bergerak bersama. Tetapi dalam diam-diam, si lelaki suka ‘mengadu masalah dari hati ke hati’dengan salah seorang kawan atau sahabat wanitanya. Hampir setiap malam bergayut di telefon. Bila ditegur, katanya ; saya mengadu kepada sahabat saya. Soalnya, mengapa sedemikian ramai sahabat sama jantina yang ada, sahabat lain jantina juga yang dicari?
Kalau jawabnya ; yang wanita lebih memahami, saya selesa mengadu kat dia, dan kadang-kadang dia pun mengadu kat saya – maka jatuh hukum haram, kerana wujudnya elemen mukaddimah zina dan ‘khalwat’ dalam telefon. Apatah lagi tujuannya langsung tidak ada ciri-ciri Taqwa.

BAGAIMANA YANG BOLEH?
Cuba lihat di mana anda berada.
Kalau dalam situasi anda di kampus, anda tentu punya rakan sekuliah atau sepersatuan. Mungkin terlibat dalam program, kerja bersama dan sebagainya. Maka anda boleh saja menganggap ‘muslimin itu sahabat saya’ atau ‘muslimat itu sahabiah saya’. Bahkan ia berpahala kiranya disandarkan kepada firman Allah : Sesungguhnya setiap mukmin itu bersaudara.
Tetapi, menganggap mereka sebagai sahabat atau sahabiah, tidak bermakna kita boleh ‘masuk’ ke dalam kehidupan mereka seperti kita masuk ke dalam kehidupan sesama kita. Maka, undang-undang pergaulan sangatlah perlu untuk dijaga.
Kalau dalam contoh bekerja pula. Katakan kita sebagai wanita, dan ketua kita adalah lelaki. Masing-masing boleh menganggap sesama sendiri sebagai sahabat. Tetapi jika berhubung, perbincangan hanyalah tentang hal-hal kerja sahaja. Selagi mana topiknya tidak tersasar, ia tidak menjadikan kita salah. Kita akan mula menjadi salah, apabila topik sedikit demi sedikit beralih dari hal kerja kepada hal peribadi, dari satu jam kepada berjam-jam, dari menaip kepada bergayut dan sebagainya.
Justeru, yang boleh tetap boleh, selagi mana tidak diresapi unsur-unsur yang menjadikannya sebagai tidak boleh.

No comments:

Post a Comment